SUNDANG : ASAL USUL PEDANG MELAYU
oleh
Professor Jak Othman
Bila berbicara
tentang Sundang ramai akan terbayang Keris Sundang yang dipercayai berasal dari
Sulaweisi dan dipelopori oleh para perajurit Bugis yang melayari Laut China
Selatan sehingga ke Sumatera sejak abad ke 14 lagi. Keris Sundang melalui
proses evolusi menjadi replika pelbagai
senjata di Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan Filipina. Tahukah anda keris Sundang
sebenarnya berasal dari tanah Jawa. Ukirannya nyata terpahat pada kuil Borobudor
dan Prambanan yang ujud seawal abad pertama di tanah Jawa.
Keris Sundang
Terdapat
pelbagai model sundang yang diwarisi sehingga hari ini oleh pahlawan di
Nusantara khususnya pahlawan Melayu. Pertama ialah keris sundang yang
dipelopori oleh beberapa aliran Silat keturuanan Jawa dan Bugis; serta pengamal
ilmu beladiri Kali di selatan Filipina. Dari selatan Filipina ia terus mempengaruhi
senjata ilmu beladiri tradisional di negara itu.
Senjata model
ini punya aring, janggut, berlok dan ada juga yang lurus tidak berlok seperti
keris. Selalunya ulunya berbentuk kepala burung Garuda. Garuda ialah salah satu
lambang kemegahan bumi Jawa yang kemudiannya menjadi lambang kemegahan bangsa
Indonesia. Ini ialah di antara fakta yang menunjukan senjata ini ialah kepunyaan
bangsa Jawa. Keris Sundang Jawa punya mata yang tajam sesuai untuk menikam dan
menghiris dan menetak. Manakala Keris Sundang Bugis pula punya mata yang
tajam untuk menetak dan menghiris, tidak sesuai pula untuk menikam. Model dari
Filipina masih mengekalkan reka bentuk seperti keris Sundang Bugis, tetapi
punya hujung mata yang agak tajam untuk menikam seperti Sundang jawa.
Model-model ini boleh digunakan sebelah atau dengan dua belah tangan ketika
bertarung.
Sundang Panjang
Sundang Panjang Dan Sundang Panjang Berlok |
Kedua ialah
sundang panjang yang serupa pedang dua dan satu mata sehaja. Model yang punya
dua mata ada yang berlok dan tidak berlok. Selain dari itu ada yang punya aring
dan di pasang penyelak berbentuk tanduk trisula pada ulunya. Ada yang lurus tanpa beraring dan penyelak
tanduk trisula. Model-model ini boleh digunakan sebelah atau dengan dua belah
tangan ketika bertarung.
Pedang Melayu
Pedang Melayu
dipercayai berasal dari Sundang yang kemudiannya melalui proses evolusi dan di
pengaruhi oleh model-model pedang dari Timur Tengah dan Eropah. Model yang
paling popular ialah pedang yang punya penyelak dengan satu tanduk trisula di
bahagian atas ulu pedang dan di bahagian bawah ia bersambung menutup bahagian
pemegang ulu sampai ke hujungnya. Model ini selalu bermata sebelah, lurus dan
tidak berlok. Ia digunakan bersama perisai yang diperbuat dari ayaman rotan
atau logam pilihan.
Sundang Harimau Berantai
Sundang Jawa |
Menurut Mahaguru
aliran ini Srikandi Hajah Ramintan
Samigon, Sundang ialah senjata utama untuk pendekar HB. Terdapat tiga model
yang digunakan oleh para pendekar keturuanan ini. Pertama keris sundang yang
panjang dan punya 15-25 lok. Dua lagi model sundang HB ialah seperti yang
diutarakan tadi sebagai sundang panjang, ada yang berlok dan tidak berlok. Ada
yang punya penyelak trisula dan ada yang tidak punya penyelak. Yang nyata
sundang HB dipegang dengan satu atau dua
tangan serta punya dua belah mata yang tajam dan hujung yang mampu menusuk
tembus tubuh lawan. Model sundang panjang selalunya menjadi pilihan para
Pendekar HB.
Ilmu Perang Sundang Ala Harimau Berantai.
Untuk mengenali
strategi, taktik dan petua bertempur senjata sundang anda harus mengenali
sundang anda terlebih dahulu. Gaya membawa sundang HB ialah dengan mengikatnya
di kedua penghujung sarung dan diletakan melintang di belakang. Cara ini bukan
saja memudahkan kita membawa senjata ini, malah ia akan menjadi perisai
menutupi sebahagian belakang kita.
Sundang di hunus
dengan menarik ia keluar dari atas oleh tangan kanan ( jika di sebelah kanan)yang
memegang bahagian atas ulu berhampiran dengan penyelak dan di sambut oleh
tangan kiri di bahagian hujung ulu sundang. Dengan mata menjunjung langit atau
sujud kebumi pendekar HB sudah bersedia untuk bertarung. Cara pegang begini sesuai
untuk bertempur dalam jarak jauh dan
sederhana di mana teknik tikaman, tetakan dan hirisan menjadi pilihan. Cara
kedua ialah dengan memegang ulu dan mata
dipusing kebawah. Tangan kiri masih di hujung ulu sundang. Cara begini sesuai
untuk tempur jarak sederhana dan rapat.
Anatomi Sundang
Seterusnya
anda mesti mengetahui anatomi sundang anda. Pertama bahagian mata. Hujung mata
tajam dan ia digunakan ibarat tombak atau serampang yang dipacu lurus pada
sasaran. Teknik tikaman sundang mudah membaham sasaran kerana bentuk
semulajadinya yang panjang di bandingkan dari kebanyakan senjata Melayu.
Sasaran utama ialah dada dan perut. Tusukan kedada akan membaham paru-paru dan
jantung. Manakala ke bahagian perut akan memburaikannya.
Bahagian atas
mata lebih kurang 300-500 sentimeter dari hujung mata ialah penghiris dan
penetak sasaran. Sasaran utama ialah lengan, kaki, leher, bahagian depan dan
belakang badan. Matanya yang tajam memudahkannya menghiris sampai ketulang
seperti belati dan menetak putus seperti parang.
Bahagian bawah
mata sampai ke penyelak digunakan untuk menangkis serangan lawan disamping
dijadikan permukaan untuk memerangkap senjata atau tangan lawan dijarak
sederhana dan rapat.Ia sering juga digunakan sebagai pemukul jika Pendekar HB
mahu lawannya cedera tapi hidup.
Bahagian
penyelak selalunya adalah model tanduk seperti sao atau tekpi. Ia digunakan
untuk seperti tekpi, memerangkap senjata dan lengan lawan, menusuk dan memotong
sasaran di jarak rapat seperti aring
keris, serta menangkis serangan dalam jarak sederhana dan rapat. Selain dari semua fungsi yang saya utarakan tadi, penyelak
sundang juga ialah pelindung tangan depan anda dari di baham senjata musuh.
Ulu sundang dibaluti
dengan belulang untuk keselesaan. Selain dari menjadi tempat untuk memegang
sundang ia boleh digunakan untuk teknik teknik pukulan di jarak tempur
sederhana dan rapat. Ia boleh juga digunakan sebagai alat memerangkan tangan,
kaki dan leher lawan buat seketika
sebelum dicederakan dengan hentakan ulu atau bahaman mata sundang.
Sarung
sundang HB dibaluti dengan belulang yang tebal dan tapi lembut untuk
mengukuhkan rekanbentukya. Selain
menjadi perisai kecil yang melintang di belakang tubuh kita ia boleh dipegang
oleh tangan
kedua ( tangan kiri )dan dijadikan penangkis dan pemukul yang efektif. Kadangkala
tali disarung digunakan untuk mengikatnya pada ulu sundang dan menjadikannya ia
senjata berbentuk lembing sederhana dan sundang dalam satu.
Strategi Dan Taktik Bersundang.
Untuk mengkaji
strategi dan taktik bersundang elok kita selidiki kes kes tersebut.
Sundang Lawan
Lembing.
Pertama kita
mesti mememahami kekuatan lembing. Ia punya jangkauan yang lebih panjang ini
bermakna lawan tikam lurus lembing lebih efektif. Ia punya mata yang boleh
menusuk dan menghiris dan batang yang boleh memukul dan mengunci lawan. Peluang
kita bersundang lebih efektif jika kita mampu melepasi jarak matanya dan masuk rapat untuk merosakan
tangan yang memegang lembing atau terus membaham tubuh lawan.
Jika lembing
dihayun dalam bentuk circular, memang sundang boleh memotong di garisan tengah
dengan masuk kehadapan rapat dan menikam
terus pada dada keatas atau terus ke perut saja. Jika dia menikam bahagian
bawah libas dengan mata sundang ketepi.
Serta merta masuk mengikut panjang batang lembing dan dan potong apa saja yang
masih menyentuh batang lembing itu.
Contoh klasik
gerak serang pendekar HB ialah melontar belati atau serbuk perang pada lawan ,
tangkis lembing mata lembing lawan ketepi mengunakan bahagian bawah mata. Terus
baham kedua tangan yang memegang lembing dengan sundang anda dan tusuk hujung
mata sundang kearah menembusi tubuh lawan.
Sundang Lawan
Sundang
Peluang kita
50/50 untuk memang. Pertama siapa cepat
dia menang. Kedua anda mesti memahami anda tidak dapat di cederakan jika anda
tidak duduk di tempat sasaran serangan sundang lawan. Langkah keluar dari zon
merbahaya apabila diserang. Ketiga,
sasaran paling utama ialah tangan lawan yang memegang sundang. Apabila
tangannya tercedera, dia tidak dapat
terus bersundang dengan selesa. Keempat, pastikan lawan tidak memegang atau
menyimpan senjata kecil di tangan keduanya. Ia akan memerbahayakan anda jika
tiba-tiba dia menyerang dengan tangan kedua bersenjata belati apabila anda
masuk ke jarak tempur sederhana dan rapat.
Anda mesti
memahami senjata yang tidak rosak ialah senjata yang paling berkesan. Pantang
sekali kita melanggar mata sundang kita dengan mata sundang lawan kerana ia akan
menyumbingkan mata sundang anda. Jika menangkis pastikan jenis tamparan (
deflection) bukan langgar secara berhadapan( head on). Gunakan bahagian bawah
mata sundang anda jika terpaksa menangkis, pastikan bahagian atas sentiasa
tajam dan kurang sumbing. Oleh yang demikian, pendekar HB lebih suka mengelak
dan membalas serangan. Jika terpaksa menangkis, teknik tamparan akan digunakan.
Sundang Lawan
Parang, Pisau, Keris, Tekpi Dan Kerambit.
Jika mengikut
logik memang jangkauan sundang lebih panjang dari semua senjata ini. Jangan
bertempur dengan lawan anda dalam keadaan tempur yang punya kelebihan dengan
senjata yang dia gunakan. Pertama, pilih teknik teknik tikaman dan tusukan dan
kuasai lawan anda di jarak tempur jauh. Parang mampu menangkis serangan anda kerana
saiz dan berat semula jadinya, cuma sundang lebih sesuai untuk betempur kerana
ia dibuat untuk bertempur manakala parang ialah alat harian di ladang dan kebun
cuma ia diadaptasikan sebagai senjata. Yang lainnya tidak mampu menangkis mata
sundang anda, kecuali tekpi.
Lawan anda akan cuba masuk rapat, melepasi
bahagian atas mata sundang anda untuk bertarung. Jika anda punya senjata kedua di tangan kiri,
ia akan menjadikan peluang lawan kembali 50/50. Pendekar HB apabila bersundang
pasti punya senjata kedua di tangan kirinya untuk menutup kelemahan keadaan
senjata panjang ini.
Kalau lawan
bertekpi peluang anda kembali 50/50. Lebih-lebih lagi kalau dia punya 2 tekpi.
Kalau anda mengajak dia menyerang peluang anda lebih tinggi dari anda memulakan
serangan. Secara umumnya tekpi lebih sesuai untuk balas serangan bukan
menyerang. Kalau dia menyerang pastikan anda berada di luar jangkauan tekpinya
dan baham tangan lawan dengan hujung dan bahagian atas mata sundang anda. Atau
ambil saja lehernya jika anda berpeluang dengan kelebihan jangkauan. Jika anda menyerang bersedia untuk menerima
serang balas lawan. Peluang kita untuk berjaya secara umumnya tipis sedikit,
tapi memang ada teknik sundang untuk berhadapan dengan tekpi. Kalau hendak
belajar datanglah ke kelas HB Ok. Untuk artikel ini saya ingin utarakan satu
petua untuk kajian pembaca. Walaupun dia boleh menyerang balas dengan tekpi
keduanya. Jangan lupa anda ada satu lagi senjata sepanjang sundang. Tendang
penyawanya atau bahagian ulu hati atau sendi lututnya ketika dia menyerang
balas. Ini akan melemahkan teknik serangan balasnya. Segera tikam atau tetak
tangan bertekpi atau ke tubuhnya untuk menguasai keadaan. Apa pandangan anda?
Bagaimana pula kalau dia menyerang balas ke kaki kita? Gunakan tangan kedua anda
dengan senjata seperti keris, badek, kerambit atau belati. Dengan kedua
tekpinya digunakan, bahagian tubuhnya terdedah, tikam saja lurus pada sasaran
di tubuhnya. Walaupun anda tercedera, peluang untuk menang masih ada.
Sundang Lawan
Kain Dan Ekor Pari.
Kalau kita
berhadapan dengan lawan berkain dan ekor pari ni memang masalah besar. Pertama
lawan boleh mengikat belati, bukulima dan kerambit di kedua penghujung kain nya
untuk dihayun kalau kita dijarak jauh. Panjang kain batek lepas ialah 2-3 meter
sudah pasti mengalahkan jangkauan sundang. Kalau kita masuk rapat, memang kiat
melangkah ke zon selesa lawan berkain. Dia akan mengunci anda dengan pelbagai
teknik ikatan. Oleh itu gunakan lah senjata kedua anda dengan melontar pada
lawan bersenjata kain. Sebenarnya batu pun boleh menkelam kabutkan lawan
bersenjata kain.
Begitu juga
dengan ekor pari. Lawan jangkauan pasti sundang tewas. Libasan senjata ini
terlalu pantas dan mengelirukan. Jika di tangkis ia akan melilit dan masih
memotong atau melibas tubuh anda. Oleh kerana lawan bersenjata ekor pari perlu
menjangkau tangan untuk melakukan tekniknya, tangannya boleh menjadi bahaman
hujung mata sundang anda. Jika anda masuk rapat, ekor pari akan menjadi seperti
kain ia boleh mengikat dan mengunci. Kadang kala ekor pari akan digunakan
bersama sonak pari yang bisa dalam tangan kedua. Masuk rapat kurang baik jika
berhadapan dengan pakar ekor pari. Oleh itu lontar belati atau serbuk perang
padanya dan cuba serang tangan yang bersenjata ekor pari itu. Tapi awas,
senjata keduanya yang serta merta akan mengancam anda jika tangan berekor
parinya tercedera.
Kesimpulan
Kesimpulan anda
mesti mempelajari kesemua senjata senjata yang sebutkan tadi. Kuasai ilmu dan
sains bertempurnya pada Guru yang mampu mengajarnya secara terpeinci pada
anda.Apabila anda mengetahui kekuatan dan kelemahan bersundang dan semua
senjata senjata tadi peluang anda untuk menang bersundang atau sekurang kurang
terselamat lebih tinggi.
Oleh itu
belajarlah bersundang dari seorang pakar. Bukan guru yang tidak cukup ilmunya
atau baru menyusun silibus ikut citarasanya yang tersendiri. . Pandai
mengayakannya tapi apa pun tak tahu tentang ilmu dan sains bertempur yang betul.
Seminar Sundang
HB bersundang
lebih dari 500 tahun dan ilmu perangnya diwarisi sehingga kini. Saya ingin
menjemput semua ahli seni beladiri seluruh Malaysia untuk mengikuti ‘Seminar
Khas Sundang Perang dan senjata penduanya ( belati, badek , kerambit dan
bukulima)’ pada musim cuti sekolah 7 September 2013. Seminar ini akan mengutarakan sejarah asal usul, ilmu ,sains dan buah buah
sulit senjata ini. Ia akan di adakan di
JOKMAS Subang jaya mulai jam 2 petang hingga 10 malam. Semua yang hadir akan
menerima sijil penyertaan dari Asia
Pacific Open University of Martial Arts, USA bersama JOKMAS. Harga penyertaan ialah RM180 ( dewasa)
dan RM 120 ( pelajar). Anda mesti berumur 18 keatas untuk mengikuti kursus ini.
Peserta boleh
membeli replica sundang latihan, safety arms dan safety specs yang dijual
dilokasi dengan harga RM25, RM 25 dan RM 15. Penginapan percuma di sedia di
JOKMAS bagi peserta lelaki , cuma anda perlu membawa tuala, selimut dan bantal
bersama anda. Peserta wanita akan di tempatkan di lokasi berasingan.
Buat tempahan
sekarang dengan menulis nama, alamat dan no. telefon bimbit sertakan bayaran
tempahan melalui cek atau money order bernilai RM50 kepada Homeland Frontier
Sdn. Bhd. Tempahan lebih dari 3 orang akan mendapat diskaun 10%. Hantar ke : Jak Othman kickboxing & Martial Arts
Studio, 78-3, Jalan SS 15/4D, Subang jaya,47500, Selangor.Sila hubungi
cikgu Nizam (019-2655504) dan Cikgu Ilmi (019-3088373) untuk keterangan lanjut.
Buat tempahan sekarang!
Jak
Othman
Penang
23 Mac 2013.
No comments:
Post a Comment