BELATI


Dari Badik ke Belati : Pisau Tempur Silat Melayu

Oleh Pendita ( Ri Ilham) Jak Othman

Sejarah


Tahukah anda badek dan tumbuk lada ialah antara alat memotong serta menghiris bangsa Melayu yang tertua? Ia ujud sejak kurun ke pertama lagi di mana logam mula menganti batu untuk dijadikan alat harian. Melalui proses evolusi senjata ini menjadi keris, parang  dan sundang bagi kaum lelaki, mankala kaum perempuan pula badek dan belati. Senjata keluarga badek ini  menjadi popular ketika pemerintah British mengharamkan keris di tanah Melayu.

Senjata milik srikandi Melayu ini secara amnya lebih kecil dari Keris, tapi masih punya ciri ciri keris yang tertentu. Ada yang punya dua mata seperti keris dan beraring, manakala yang paling umum ialah model sebelah mata yang berjanggut. Apabila keris diharamkan, alat dari orang dapur dan ladang ini, mula menjadi senjata sulit pembinasa yang digeruni di bumi Melayu ketika itu.  

Dari dapur dan ladang  satu lagi alat memotong yang dikatakan melalui proses evolusi menjadi senjata yang digeruni ialah pisau belati. Alat memotong ikan, daging dan sayur untuk makanan ini juga boleh menjadi senjata pembinasa yang sangat efektif bagi mereka yang menguasai ilmu bertempurnya. Rupanya tidak jauh dari badek. Ilmu bertempur dengan belati menggunakan konsep, strategi dan teknik teknik asal badek, cuma matanya melalui proses evolusi kearah modenisasi menjadi sangat tajam hingga mampu menghiris sampai ketulang.

Belati & Harimau Berantai HB


Belati dan Harimau berantai sangat sinonim sehingga media sering mengaitkan ahli HB sebagai pakar belati. Penulis Myles Burke dari Fighters UK pernah menulis, ‘Only when you see a silat master in action with a knife then you will realized how effective the art could be. Seeing Guru Jak lightning speed cuts and slashes chills a martial artist to the bone.’ Beliau menulis setelah menghadiri seminar saya di Glasgow Scotland. Bos besar dan penyunting majalah Seni beladiri Mahaguru Azlan Ghanie ada juga mengutarakan yang saya pakar belati.  Sebenarnya tidaklah seperti yang diwar-warkan oleh pihak media, belati ialah salah satu pelajaran khusus aliran ini. Banyak lagi senjata yang diajar secara khusus dalam HB dan setiap senjata ada ilmu, sains dan konsepnya yang tersendiri. Ada yang di antara perkara perkara yang disebut di atas serupa, tapi tidak sama . Lain perkataan, pakar belati jika tidak belajar berkerambit dia tidak akan jadi pakar kerambit.

Contoh paling baik ialah anak buah saya Pendekar Wan Yusmar kini popular dengan skil kerambit beliau. Tahukah anda dia juga mahir dengan Belati dan Keris? Kalau nak tengok sila tanya dia ketika dia berseminar di tempat anda. Kalau anda tidak dapat menghubungi beliau untuk seminar, Pendekar Azilan Ahmad pun ada. Ambil nombor telefon bimbit mereka di bahagian contact blog ini. Kalau kumpulan anda semuanya speaking London, anda boleh hubungi Pendekar Ed Chard untuk berseminar.

Sebenarnya kami pelajari dan amalkan ilmu senjata ini sebagai pelajaran khusus aliran HB. Kami juga amal ilmu pertarungan  sundang, kapak kecil, bukulima, serbuk perang, kain sarung, ekor pari, sonak pari, sao(tekpi), pencawangan ( macam tonfa Okinawa tapi berpisau), seruling (buluh runcing) ,kipas sakti ( tali dan ladung besi) dan banyak lagi senjata tradisional Melayu Jawa disamping bertarung tanpa senjata. HB tidak melatih ahlinya bersilat ala persembahan dan pentas, malah mengajar ilmu pembinasa lawan seefektif dan secepat mungkin. Menurut orang-orang lama HB , inilah cara ilmu aliran ini diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya sejak lebih dari 500 tahun yang lalu dan sehingga hari ini ia masih ‘original.’

Senjata dahulu, tangan kosong kemudian


Kami di HB mula belajar dengan senjata setelah mahir 3 senjata barulah  diajar teknik bertempur tangan kosong sambil terus mempelajari senjata senjata lain. Kenapa ya? Oleh kerana sejak berkurun lamanya bumi Melayu ini menjadi tumpuan dunia dari barat dan timur sebagai pusat dagangan, pusat penyebaran agama dan pusat pertembungan budaya , ia sentiasa menjadi sasaran serangan kuasa luar yang ingin menguasai bumi kita. Kebetulan juga bumi kita begitu kaya dengan pelbagai hasil logam dan hutan, serta wanita Melayu sungguh ayu menyebabkan keinginan kuasa luar menakluki kita begitu tinggi.  Oleh kerana keluarga HB ujud ketika Belanda menguasai Indonesia, anak-anak orang Jawa ketika itu tidak sempat belajar teknik tangan kosong. Mereka diajar terus bertarung dengan senjata kerana bila-bila masa kampung dan keluarga akan diganggu oleh tentera Belanda. Oleh itu aliran HB mengajar senjata dahulu, bila dah mahir baru tangan kosong. Jika anda perhalusi teknik teknik pukulan dan kuncian tangan kosong HB, anda akan dapat lihat yang teknik teknik ini berasal dari ilmu bersenjata. Bayangkan buah kuncian anda dengan belati dibenam dilengan atau leher sambil mengunci lawan sehingga tidak dapat bernafas lagi. Inilah buah kunci dengan belati HB.

Ilmu berbelati.


Jika belati dikatakan berasal dari dapur dan ladang, maka tidak hairanlah ia dikaitkan dengan Srikandi. Ilmu bertempurnya diperhalusi untuk wanita menumpaskan lelaki. Yang lemah-lembut ,mengalahkan yang gagah. Bayangkan teknik-teknik yang direka khas untuk keadaan begini. Apabila ilmu ini diwarisi pendekar HB, dengan menumpang hak wanita dan diperkasakan lagi dengan kuderat lelaki menjadikan ia ilmu perang yang sungguh mengkagumkan. Konsep inilah yang menjadikan seni belati dan senjata HB dikagumi apabila ia diperkenalkan di peringkat antarabangsa.

Anatomi Belati


Untuk menggunakan belati seefektif mungkin kita mesti mengenali anatominya.  Belati terbahagi kepada dua bahagian; ulu dan mata. Ulu selain dari alat pemegang, ia juga boleh digunakan untuk pukulan. Dengan menggunakan pelbagai species kayu kayan tropika, ulu diukir pelbagai reka bentuk tumbuhan, binatang dan abstrak yang menujukan bangsa Melayu ialah bangsa kreatif dan gemar berkarya. Bentuk-bentuk unik ini sungguh merbahaya jika ia dijadikan permukaan untuk menghentak musuh dengan pelbagai pukulan. Contohnya ulu belati milik Puteri Mayang Mengurai@Puteri Gunung Ledang dipilih dari akar rotan bertemu ruas yang dipercayai punya khasiat untuk menghalau gangguan Jin dan makhluk halus selain dari baik untuk mengoyak permukaan sasaran yang dihentaknya.  Ada juga bentuk bentuk yang boleh digunakan untuk bukan saja menghasilkan  pukulan yang merbahaya , malah ada rekabentuk seperti rafil atau kerambit yang mampu mengoyak permukaan yang dibahamnya.

Mata belati ialah pembinasa sebenar. Secara amnya ia sangat tajam dan mampu menembusi kulit dengan mudah dan memotong sampai ketulang. Model paling umum punya sebelah mata yang tajam dan muncung yang mampu menebuk sasaran dengan mudah. Sebelah yang tidak tajam pula sesuai untuk dijadikan permukaan tangkisan dan kuncian di jarak rapat.          

Staretgi Tempur Belati

Jarak jauh.


Apabila lawan berada antara  4 – 8 meter, pakar belati akan melontar pisaunya. Sasaran utama ialah dada lawan. Jika mengena tepat di dada ia akan merobek jantung dan kadangkala hati. Teringat saya pada kawan lama seorang pakar keris allahyarham Pendekar Zailan Zainuddin( Al-Fatihah) Juara Dunia katogeri seni 1987. Murid ikon silat moden allahyarham Pendekar Haji Sutin Mohd Ali ( Al- Fatihah) dari aliran Hulubalang Melaka pernah berkongsi ilmu berkeris dalam dokumentari ‘Inside Silat’ arahan saya pada 2008. Menurut beliau jika tusukan keris membaham dada kanan ia akan mengena jantung. Jika kiri dan lebih kurang 2 cm di bawah puting dada ia akan membaham jantung dan hati. Tusukan begini akan serta merta merebahkan lawan.
     
Begitu juga jika belati yang dibaling ke dada mengena sasaran; tusukannya akan serta merta merosakan sistem penafasan. Jika hinggap ke ulu hati, lawan tidak akan dapat bernafas dan kehilangan darah. Bawah sedikit keperut akan memburaikan isinya.

Menurut beberapa murid saya yang menjadikan body guards sebagai profession di negara-negara barat, mereka lebih gemar menggunakan pisau untuk menlontar apabila dalam keadaan gentir. Ramai yang berpendapat dalam jarak tempur 4-10 meter, pisau masih mampu mengalahkan pistol. Ini ialah kerana belati hanya cabut dari sarung dan lontar, manakala pistol pula cabut, buka kunci dan tembak pada sasaran ketika detik-detik permulaan bertempur. Jika sudah membalas tembakan, pistol lebih baik.   

Jarak tempur jauh.


Keberkesan belati dalam keadaan tempur ini ialah jangkauannya. Jika pakar belati berhadapan dengan lawan bersenjata pedang dan parang, pakar belati lebih gemar berlawan dalam keadaan pertama tadi. Jika terpaksa berhadapan dalam keadaan tempur berdepan,peluang 80/20 lebih pada lawan. Oleh itu pakar belati akan berada di luar jangkauan senjata lawan atau masuk rapat dan bertempur dalam jarak ini.  Peluang untuk masuk rapat memang ada kerana pedang dan parang berat dan selalunya menggunakan teknik hayunan yang besar. Kebetulan pedang dan parang kurang efektif dalam jarak ini dan menjadi peluang pakar belati menang 80/20 pula. Bahaman awal pakar belati ialah lengan dan tangan yang memegang senjata dan diikuti dengan sasaran di kepala dan tubuh lawan untuk menguasai keadan tempur. Tapi anda perlu berhati hati lawan yang memegang pedang dengan tangan kanan mungkin juga punya belati,kerambit atau bukulima dalam tangan kirinya. Jika anda yakin tangan kirinya tiada senjata, masuk rapat ke kirinya supaya jauh dari hayunan pedang itu. Jika dia punya dua senjata, anda perlu masuk dibahagian luar tangan kanannya . Bila anda dalam posisi ini,mula rosakan tangan bersenjata dan dikuti dengan sasaran utama seperti leher, dada,rusk , perut dan bahagian sulit.


Jarak sederhana dan rapat.


Ini ialah jarak tempur ‘favourite’ belati. Keadaan ini kurang senang bagi lawan bersenjata parang dan pedang, tapi jika lawan berpisau atau kerambit peluang kita masih 50/50. Untuk mengetahui sains bertempur dalam keadaan begini, anda mesti memahami teknik teknik pisau dan kerambit hidup yang sebenar. Pernah Srikandi Ramintan berkata, ‘Jika anda mahu mematikan time bomb, anda mesti menjadi pakar bomb. Setakat menjadi askar sahaja peluang anda untuk mematikannya sangat tipis.’ Lain perkataan anda lebih berpeluang untuk menang bertarung dengan lawan bersenjata pisau atau kerambit, jika anda pakar senjata ini.

Kalau anda belajar teknik teknik senjata untuk buat demo sahaja dan tidak pernah mempelajari ilmu bertempur sebenar senjata itu, peluang untuk anda tidak tercedera bila berhadapan dengan lawan bersenjata ialah kosong. Malah pakar senjata juga mengetahui yang hakikatnya apabila bertempur dengan lawan bersenjata tajam peluang untuk menang tanpa tercedera ialah sangat tipis. Luka itu biasa, tapi luka yang tidak memudaratkan. Kita mesti meminimakan risiko untuk dilukakan dan tewaskan lawan secepat mungkin.
Anda mesti mengetahui kekuatan dan kelemahan teknik-teknik senjata itu. Bertindak apabila lawan berada dalam keadaan paling lemah dengan senjata yang digunakan. Rosakan tangan lawan yang  memegang senjata sebelum membaham sasaran merbahaya untuk menewaskan lawan secepat mungkin.

 Konsep utama bertempur


Strategi bertempur pertama HB ialah kisah ular tedung dan bisanya. Jika anda mencabut bisa ular, ia akan menjadi cacing yang besar. Kemampuannya untuk melawan memang terhad. Tapi jika anda masuk rapat ia masih mampu melibaskan ekornya ke mata anda. Oleh itu cabut bisa ular dan cincangnya lumat.
Menurut cerita orang tua-tua bangsa Melayu, jika anda terpaksa membunuh seekor ular tedung  pastikan anda lumatkan kepalanya sebelum di tanam atau dibuangkan ditempat lain. Ini ialah kerana pasangannya boleh mengesan anda dengan melihat imej anda pada mata ular yang mati dan membalas dendam. Walaubagiman pun teori ini telah disangkal oleh saintis.

Pengalaman sebenar saya masih seperti yang diutarakan oleh orang tua-tua Melayu kita . Pada 1986 saya ke Gunung Ledang setiap minggu bersama Srikandi Hajah Ramintan untuk menuntut. Pak Long Zulkifli Hj Minhat suami Srikandi Ramintan akan memandu kereta kami ke sana. Satu pagi seekor ular tedung telah digilis oleh sebuah lori kecil yang memandu beberapa meter di hadapan kereta kami. Pada minggu hadapan, kami kembali untuk rutin menuntut di Gunung Ledang. Di tempat dan waktu yang hampir sama seekor ular tedung besar tiba tiba menerpa dari semak di tepi jalan dan mematuk sebuah lori kecil yang berada beberapa meter di hadapan kami. Sungguh menakjubkan. Jika saintis yang menidakan teori itu berpeluang melihat senerio yang kami lihat berlaku dihadapan mata kami sudah tentu dia akan berubah pendapat.    

Ibaratkan lawan anda seperti ular tedung yang berbisa. Cabut bisanya bererti rosakan tangan dan kaki lawan supaya dia tidak dapat menyerang anda. Tapi ekornya masih boleh membutakan anda. Ini bererti dia masih merbahaya walaupun tangan dan kakinya tercedera. Dia mampu meludah pada anda. Di zaman dahulu majoriti orang kita makan sireh dan ludahan kunyahan sirih ke mata boleh menyakitkan. Dia boleh menanduk anda dengan kepalanya. Dia masih mampu melanggar anda dengan tubuhnya. Awas! Oleh itu cabut bisa ular dan cincangnya lumat. Rosakan tangan dan kaki; susuli dengan teknik teknik pembinasa yang lain untuk memastikan lawan anda rebah dan tewas buat selamanya.

Silat, akal, iman dan taqwa.


Jika kita kaji semula konsep ‘cabut bisa ular dan cincang lumat’, mungkin ada yang berpendapat ia terlalu sadis atau kejam. Ia adalah konsep silat tempur, untuk memastikan lawan tidak mampu lagi meneruskan niatnya untuk mencederakan atau lebih teruk lagi membunuh anda. Sebenarnya Allah menganugerahkan kita akal yang sempurna, jika dibekalkan dengan Iman kita akan tahu bila atau di tahap mana kita patut berhenti ketika bertarung menggunakan konsep ini. Jika kita mahu lawan kita hidup, hentilah di tahap cabut bisa ular sahaja. Contohnya  jika anda diserang perompak  jalanan yang bersenjata pisau. Langkah pertama ialah rosakan tangan dan kakinya dengan hentakan dan tendangan di sendi-sendi. Apabila lawan kita tidak berupaya untuk menyerang balas kerana tangan dan kakinya tercedera, segera undur dan tinggalkannya. Anda boleh juga boleh mengikatnya dan panggil pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah ini. Jika dia ialah perompak yang bersenjata tajam, mungkin anda terpaksa melakukan satu tahap lagi. Selepas mencederakan tangan bersenjata dan kakinya anda supaya dia tidak dapt menyepak atau lari, serang balas ke sasaran utama supaya dia lemah. Cari mata,batang hidung, mulut ,tulang selangka( collar bone), ulu hati dan rusuk. Dia cedera, tapi belum menemui ajal.

Jika anda diserang lebih dari satu dengan lawan-lawan bersenjata tajam, risiko mereka membunuh anda sangat tinggi. Konsep ‘Killed or be killed’ perlu digunakan. Ini bermakna setiap kali anda berpeluang merosakan tangan bersenjata , cari halkum, tepi tengkok, belakang tengkok dan bahagian sulit sebagai sasaran yang lebih cepat menundukan lawan. Pukulan ke halkum  tengkok mampu merebahkan lawan serta merta. Sepakan atau lutut ke bahagian sulit selalunya menamatkan pertarungan. Kalau anda bersenjata belati semua ini akan menjadi lebih mudah.

Setiap pengamal HB di didik dengan ilmu, petua dan sains bertempur untuk diadaptasikan dalam pelbagai keadaan tempur. Bersama dengan ilmu perang, mereka dipupuk budi pekerti mulia, taat pada agama , bangsa dan negara.Inilah rantai yang mengekat harimau. Hanya bila nyawa , agama dan negara terancam, lawan akan berhadapan dengan Harimau yang tidak lagi menyimpan kukunya.

Jak Othman
19 Mac 2013  KB Kelantan







BELATI - Art of Knife Combat



Pendita Jak Othman ialah salah seorang pakar seni tempur belati yang ulung. Beliau ialah pakar yang sering dijemput untuk mengendalikan seminar seminar diperingkat antarabangsa mengenai ilmu perang yang dianggap sangat merbahaya  ini.

Mahaguru aliran Harimau Berantai Srikandi Hajah Ramintan Samingon pernah berkata, ‘Jika anda mahu mengetahui cara cara mempertahankan diri dari serangan pisau. Jadi pakar tempur senjata pisau. Ungkapan ini mencerminkan segalanya. Pesilat Harimau Berantai ialah pengamal ilmu  tempur senjata tajam.yang mewarisi ilmu ini sejak turun temurun dalam bentuk yang asli sehingga kini.



Seminar senjata tajam Jak Othman memperkenalkan seni belati Harimau Berantai. Ia terdiri dari 3 fasa dengan persijilan. Setiap peserta akan diuji sebelum maju ke fasa seterusnya. 
   

1 comment:

  1. Bahasa Indonesia dan Melayu memang sangat mirip. Saya orang Indonesia dan belum pernah sebelumnya memiliki pengalaman berbahasa melayu. Meski begitu, saya dapat membaca teks tersebut dengan mudah dan lancar. Terimakasih atas informasinya yang bermanfaat, salam dari Indonesia :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...