OTHERS BLADES of SILAT


SUNDANG : ASAL USUL PEDANG MELAYU

oleh Professor Jak Othman

Bila berbicara tentang Sundang ramai akan terbayang Keris Sundang yang dipercayai berasal dari Sulaweisi dan dipelopori oleh para perajurit Bugis yang melayari Laut China Selatan sehingga ke Sumatera sejak abad ke 14 lagi. Keris Sundang melalui proses evolusi  menjadi replika pelbagai senjata di Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan Filipina. Tahukah anda keris Sundang sebenarnya berasal dari tanah Jawa. Ukirannya nyata terpahat pada kuil Borobudor dan Prambanan yang ujud seawal abad pertama di tanah Jawa.


Keris Sundang

Terdapat pelbagai model sundang yang diwarisi sehingga hari ini oleh pahlawan di Nusantara khususnya pahlawan Melayu. Pertama ialah keris sundang yang dipelopori oleh beberapa aliran Silat keturuanan Jawa dan Bugis; serta pengamal ilmu beladiri Kali di selatan Filipina. Dari selatan Filipina ia terus mempengaruhi senjata ilmu beladiri tradisional di negara itu.

Senjata model ini punya aring, janggut, berlok dan ada juga yang lurus tidak berlok seperti keris. Selalunya ulunya berbentuk kepala burung Garuda. Garuda ialah salah satu lambang kemegahan bumi Jawa yang kemudiannya menjadi lambang kemegahan bangsa Indonesia. Ini ialah di antara fakta yang menunjukan senjata ini ialah kepunyaan bangsa Jawa. Keris Sundang Jawa punya mata yang tajam sesuai untuk menikam dan menghiris dan menetak.  Manakala  Keris Sundang Bugis pula punya mata yang tajam untuk menetak dan menghiris, tidak sesuai pula untuk menikam. Model dari Filipina masih mengekalkan reka bentuk seperti keris Sundang Bugis, tetapi punya hujung mata yang agak tajam untuk menikam seperti Sundang jawa. Model-model ini boleh digunakan sebelah atau dengan dua belah tangan ketika bertarung.   


Sundang Panjang
Sundang Panjang Dan Sundang Panjang Berlok

Kedua ialah sundang panjang yang serupa pedang dua dan satu mata sehaja. Model yang punya dua mata ada yang berlok dan tidak berlok. Selain dari itu ada yang punya aring dan di pasang penyelak berbentuk tanduk trisula pada ulunya.  Ada yang lurus tanpa beraring dan penyelak tanduk trisula. Model-model ini boleh digunakan sebelah atau dengan dua belah tangan ketika bertarung.


Pedang Melayu

Pedang Melayu dipercayai berasal dari Sundang yang kemudiannya melalui proses evolusi dan di pengaruhi oleh model-model pedang dari Timur Tengah dan Eropah. Model yang paling popular ialah pedang yang punya penyelak dengan satu tanduk trisula di bahagian atas ulu pedang dan di bahagian bawah ia bersambung menutup bahagian pemegang ulu sampai ke hujungnya. Model ini selalu bermata sebelah, lurus dan tidak berlok. Ia digunakan bersama perisai yang diperbuat dari ayaman rotan atau logam pilihan.


Sundang Harimau Berantai
Sundang Jawa

Menurut Mahaguru aliran ini  Srikandi Hajah Ramintan Samigon, Sundang ialah senjata utama untuk pendekar HB. Terdapat tiga model yang digunakan oleh para pendekar keturuanan ini. Pertama keris sundang yang panjang dan punya 15-25 lok. Dua lagi model sundang HB ialah seperti yang diutarakan tadi sebagai sundang panjang, ada yang berlok dan tidak berlok. Ada yang punya penyelak trisula dan ada yang tidak punya penyelak. Yang nyata sundang HB  dipegang dengan satu atau dua tangan serta punya dua belah mata yang tajam dan hujung yang mampu menusuk tembus tubuh lawan. Model sundang panjang selalunya menjadi pilihan para Pendekar HB.


Ilmu Perang Sundang Ala Harimau Berantai.

Untuk mengenali strategi, taktik dan petua bertempur senjata sundang anda harus mengenali sundang anda terlebih dahulu. Gaya membawa sundang HB ialah dengan mengikatnya di kedua penghujung sarung dan diletakan melintang di belakang. Cara ini bukan saja memudahkan kita membawa senjata ini, malah ia akan menjadi perisai menutupi sebahagian belakang kita.

Sundang di hunus dengan menarik ia keluar dari atas oleh tangan kanan ( jika di sebelah kanan)yang memegang bahagian atas ulu berhampiran dengan penyelak dan di sambut oleh tangan kiri di bahagian hujung ulu sundang. Dengan mata menjunjung langit atau sujud kebumi pendekar HB sudah bersedia untuk bertarung. Cara pegang begini sesuai untuk  bertempur dalam jarak jauh dan sederhana di mana teknik tikaman, tetakan dan hirisan menjadi pilihan. Cara kedua ialah  dengan memegang ulu dan mata dipusing kebawah. Tangan kiri masih di hujung ulu sundang. Cara begini sesuai untuk tempur jarak sederhana dan rapat.     

Anatomi Sundang

Seterusnya anda mesti mengetahui anatomi sundang anda. Pertama bahagian mata. Hujung mata tajam dan ia digunakan ibarat tombak atau serampang yang dipacu lurus pada sasaran. Teknik tikaman sundang mudah membaham sasaran kerana bentuk semulajadinya yang panjang di bandingkan dari kebanyakan senjata Melayu. Sasaran utama ialah dada dan perut. Tusukan kedada akan membaham paru-paru dan jantung. Manakala ke bahagian perut akan memburaikannya.

Bahagian atas mata lebih kurang 300-500 sentimeter dari hujung mata ialah penghiris dan penetak sasaran. Sasaran utama ialah lengan, kaki, leher, bahagian depan dan belakang badan. Matanya yang tajam memudahkannya menghiris sampai ketulang seperti belati dan menetak putus seperti parang.

Bahagian bawah mata sampai ke penyelak digunakan untuk menangkis serangan lawan disamping dijadikan permukaan untuk memerangkap senjata atau tangan lawan dijarak sederhana dan rapat.Ia sering juga digunakan sebagai pemukul jika Pendekar HB mahu lawannya cedera tapi hidup.

Bahagian penyelak selalunya adalah model tanduk seperti sao atau tekpi. Ia digunakan untuk seperti tekpi, memerangkap senjata dan lengan lawan, menusuk dan memotong sasaran di jarak rapat seperti  aring keris, serta menangkis serangan dalam jarak sederhana dan rapat. Selain dari  semua fungsi yang saya utarakan tadi, penyelak sundang juga ialah pelindung tangan depan anda dari di baham  senjata musuh.           

Ulu sundang dibaluti dengan belulang untuk keselesaan. Selain dari menjadi tempat untuk memegang sundang ia boleh digunakan untuk teknik teknik pukulan di jarak tempur sederhana dan rapat. Ia boleh juga digunakan sebagai alat memerangkan tangan, kaki  dan leher lawan buat seketika sebelum dicederakan dengan hentakan ulu atau bahaman mata sundang.

Sarung sundang HB dibaluti dengan belulang yang tebal dan tapi lembut untuk mengukuhkan rekanbentukya.  Selain menjadi perisai kecil yang melintang di belakang tubuh kita ia boleh dipegang
oleh tangan kedua ( tangan kiri )dan dijadikan penangkis dan pemukul yang efektif. Kadangkala tali disarung digunakan untuk mengikatnya pada ulu sundang dan menjadikannya ia senjata berbentuk lembing sederhana dan sundang dalam satu.   


Strategi Dan Taktik Bersundang.

Untuk mengkaji strategi dan taktik bersundang elok kita selidiki kes kes tersebut.


Sundang Lawan Lembing.

Pertama kita mesti mememahami kekuatan lembing. Ia punya jangkauan yang lebih panjang ini bermakna lawan tikam lurus lembing lebih efektif. Ia punya mata yang boleh menusuk dan menghiris dan batang yang boleh memukul dan mengunci lawan. Peluang kita bersundang lebih efektif jika kita mampu melepasi  jarak matanya dan masuk rapat untuk merosakan tangan yang memegang lembing atau terus membaham tubuh lawan.

Jika lembing dihayun dalam bentuk circular, memang sundang boleh memotong di garisan tengah dengan masuk kehadapan rapat  dan menikam terus pada dada keatas atau terus ke perut saja. Jika dia menikam bahagian bawah libas dengan  mata sundang ketepi. Serta merta masuk mengikut panjang batang lembing dan dan potong apa saja yang masih menyentuh batang lembing itu.

Contoh klasik gerak serang pendekar HB ialah melontar belati atau serbuk perang pada lawan , tangkis lembing mata lembing lawan ketepi mengunakan bahagian bawah mata. Terus baham kedua tangan yang memegang lembing dengan sundang anda dan tusuk hujung mata sundang kearah menembusi tubuh lawan.    


Sundang Lawan Sundang


Peluang kita 50/50  untuk memang. Pertama siapa cepat dia menang. Kedua anda mesti memahami anda tidak dapat di cederakan jika anda tidak duduk di tempat sasaran serangan sundang lawan. Langkah keluar dari zon merbahaya apabila diserang.  Ketiga, sasaran paling utama ialah tangan lawan yang memegang sundang. Apabila tangannya  tercedera, dia tidak dapat terus bersundang dengan selesa. Keempat, pastikan lawan tidak memegang atau menyimpan senjata kecil di tangan keduanya. Ia akan memerbahayakan anda jika tiba-tiba dia menyerang dengan tangan kedua bersenjata belati apabila anda masuk ke jarak tempur sederhana dan rapat.

Anda mesti memahami senjata yang tidak rosak ialah senjata yang paling berkesan. Pantang sekali kita melanggar mata sundang kita dengan mata sundang lawan kerana ia akan menyumbingkan mata sundang anda. Jika menangkis pastikan jenis tamparan ( deflection) bukan langgar secara berhadapan( head on). Gunakan bahagian bawah mata sundang anda jika terpaksa menangkis, pastikan bahagian atas sentiasa tajam dan kurang sumbing. Oleh yang demikian, pendekar HB lebih suka mengelak dan membalas serangan. Jika terpaksa menangkis, teknik tamparan akan digunakan.


Sundang Lawan Parang, Pisau, Keris, Tekpi Dan Kerambit.

Jika mengikut logik memang jangkauan sundang lebih panjang dari semua senjata ini. Jangan bertempur dengan lawan anda dalam keadaan tempur yang punya kelebihan dengan senjata yang dia gunakan. Pertama, pilih teknik teknik tikaman dan tusukan dan kuasai lawan anda di jarak tempur jauh. Parang mampu menangkis serangan anda kerana saiz dan berat semula jadinya, cuma sundang lebih sesuai untuk betempur kerana ia dibuat untuk bertempur manakala parang ialah alat harian di ladang dan kebun cuma ia diadaptasikan sebagai senjata. Yang lainnya tidak mampu menangkis mata sundang anda, kecuali tekpi. 

Lawan anda akan cuba masuk rapat, melepasi bahagian atas mata sundang anda untuk bertarung.  Jika anda punya senjata kedua di tangan kiri, ia akan menjadikan peluang lawan kembali 50/50. Pendekar HB apabila bersundang pasti punya senjata kedua di tangan kirinya untuk menutup kelemahan keadaan senjata panjang ini.

Kalau lawan bertekpi peluang anda kembali 50/50. Lebih-lebih lagi kalau dia punya 2 tekpi. Kalau anda mengajak dia menyerang peluang anda lebih tinggi dari anda memulakan serangan. Secara umumnya tekpi lebih sesuai untuk balas serangan bukan menyerang. Kalau dia menyerang pastikan anda berada di luar jangkauan tekpinya dan baham tangan lawan dengan hujung dan bahagian atas mata sundang anda. Atau ambil saja lehernya jika anda berpeluang dengan kelebihan jangkauan.  Jika anda menyerang bersedia untuk menerima serang balas lawan. Peluang kita untuk berjaya secara umumnya tipis sedikit, tapi memang ada teknik sundang untuk berhadapan dengan tekpi. Kalau hendak belajar datanglah ke kelas HB Ok. Untuk artikel ini saya ingin utarakan satu petua untuk kajian pembaca. Walaupun dia boleh menyerang balas dengan tekpi keduanya. Jangan lupa anda ada satu lagi senjata sepanjang sundang. Tendang penyawanya atau bahagian ulu hati atau sendi lututnya ketika dia menyerang balas. Ini akan melemahkan teknik serangan balasnya. Segera tikam atau tetak tangan bertekpi atau ke tubuhnya untuk menguasai keadaan. Apa pandangan anda? Bagaimana pula kalau dia menyerang balas ke kaki kita? Gunakan tangan kedua anda dengan senjata seperti keris, badek, kerambit atau belati. Dengan kedua tekpinya digunakan, bahagian tubuhnya terdedah, tikam saja lurus pada sasaran di tubuhnya. Walaupun anda tercedera, peluang untuk menang masih ada.         


Sundang Lawan Kain Dan Ekor Pari.

Kalau kita berhadapan dengan lawan berkain dan ekor pari ni memang masalah besar. Pertama lawan boleh mengikat belati, bukulima dan kerambit di kedua penghujung kain nya untuk dihayun kalau kita dijarak jauh. Panjang kain batek lepas ialah 2-3 meter sudah pasti mengalahkan jangkauan sundang. Kalau kita masuk rapat, memang kiat melangkah ke zon selesa lawan berkain. Dia akan mengunci anda dengan pelbagai teknik ikatan. Oleh itu gunakan lah senjata kedua anda dengan melontar pada lawan bersenjata kain. Sebenarnya batu pun boleh menkelam kabutkan lawan bersenjata kain.

Begitu juga dengan ekor pari. Lawan jangkauan pasti sundang tewas. Libasan senjata ini terlalu pantas dan mengelirukan. Jika di tangkis ia akan melilit dan masih memotong atau melibas tubuh anda. Oleh kerana lawan bersenjata ekor pari perlu menjangkau tangan untuk melakukan tekniknya, tangannya boleh menjadi bahaman hujung mata sundang anda. Jika anda masuk rapat, ekor pari akan menjadi seperti kain ia boleh mengikat dan mengunci. Kadang kala ekor pari akan digunakan bersama sonak pari yang bisa dalam tangan kedua. Masuk rapat kurang baik jika berhadapan dengan pakar ekor pari. Oleh itu lontar belati atau serbuk perang padanya dan cuba serang tangan yang bersenjata ekor pari itu. Tapi awas, senjata keduanya yang serta merta akan mengancam anda jika tangan berekor parinya tercedera. 


Kesimpulan

Kesimpulan anda mesti mempelajari kesemua senjata senjata yang sebutkan tadi. Kuasai ilmu dan sains bertempurnya pada Guru yang mampu mengajarnya secara terpeinci pada anda.Apabila anda mengetahui kekuatan dan kelemahan bersundang dan semua senjata senjata tadi peluang anda untuk menang bersundang atau sekurang kurang terselamat lebih tinggi.

Oleh itu belajarlah bersundang dari seorang pakar. Bukan guru yang tidak cukup ilmunya atau baru menyusun silibus ikut citarasanya yang tersendiri. . Pandai mengayakannya tapi apa pun tak tahu tentang ilmu dan sains bertempur yang betul.

Seminar Sundang

HB bersundang lebih dari 500 tahun dan ilmu perangnya diwarisi sehingga kini. Saya ingin menjemput semua ahli seni beladiri seluruh Malaysia untuk mengikuti  ‘Seminar Khas Sundang Perang dan senjata penduanya ( belati, badek , kerambit dan bukulima)’ pada musim cuti sekolah 7 September 2013. Seminar ini akan mengutarakan  sejarah asal usul, ilmu ,sains dan buah buah sulit  senjata ini. Ia akan di adakan di JOKMAS Subang jaya mulai jam 2 petang hingga 10 malam. Semua yang hadir akan menerima sijil penyertaan dari Asia Pacific Open University of Martial Arts, USA bersama JOKMAS.  Harga penyertaan ialah RM180 ( dewasa) dan RM 120 ( pelajar). Anda mesti berumur 18 keatas untuk mengikuti kursus ini.

Peserta boleh membeli replica sundang latihan, safety arms dan safety specs yang dijual dilokasi dengan harga RM25, RM 25 dan RM 15. Penginapan percuma di sedia di JOKMAS bagi peserta lelaki , cuma anda perlu membawa tuala, selimut dan bantal bersama anda. Peserta wanita akan di tempatkan di lokasi berasingan.     

Buat tempahan sekarang dengan menulis nama, alamat dan no. telefon bimbit sertakan bayaran tempahan melalui cek atau money order bernilai RM50 kepada Homeland Frontier Sdn. Bhd. Tempahan lebih dari 3 orang akan mendapat diskaun 10%. Hantar ke : Jak Othman kickboxing & Martial Arts Studio, 78-3, Jalan SS 15/4D, Subang jaya,47500, Selangor.Sila hubungi cikgu Nizam (019-2655504) dan Cikgu Ilmi (019-3088373) untuk keterangan lanjut. Buat tempahan sekarang!

Jak Othman
Penang 23 Mac 2013.   

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...