KERAMBIT



KERAMBIT : Senjata Melayu yang Menawan Dunia.    
Oleh Professor Jak Othman.

Kerambit ialah salah satu senjata tempur jarak rapat yang kini menjadi senjata seni beladiri yang paling popular di dunia. Senjata ini dipilih oleh pelbagai ejensi ‘sekuriti, pengawal peribadi dan kumpulan gerak khas ketenteraan’ di barat sebagai salah satu senjata tempur jarak rapat yang eksklusif.  Kini senjata sulit Srikandi Melayu sudah keperingkat antarabangsa dan dinobatkan sebagai senjata seni beladiri yang tersohor alaf ini.

Rafil  Rezeki ( 500 tahun)



Siapa Berkerambit?

Tidak semua pakar silat itu, pakar kerambit. Tidak semua aliran silat menggunakan kerambit. Yang nyata sekarang terdapat 3 jenis kumpulan pengamal kerambit di dunia. Pertama, aliran seperti Harimau Berantai (HB) yang menjadikan kerambit sebagai pelajaran khusus. Senjata yang dikenali dengan nama Rafil dalam aliran ini punya ilmu, sains dan petua bertempur tersendiri yang diajar turun temurun oleh Guru pakar pada murid  dan seterusnya sejak lebih dari 500 tahun yang lalu. Keasliannya dijaga dan keberkesanannya sebagai senjata pembinasa adalah di tahap maksima.

Kedua, terdapat aliran silat yang tidak menjadikan kerambit sebagai pelajaran khusus. Guru-guru dari aliran sebegini menyimpan sebiji dua buah rahsia berkerambit. Mereka ini tidak dikatogerikan sebagai pakar senjata unik ini. Cuma murid murid yang dipercayai sahaja akan diajar buah-buah rahsia ini.
Pihak ketiga ialah aliran seni beladiri yang mengadaptasikan kerambit dalam latihan mereka. Ada yang berguru dengan pakar kerambit dan ada juga yang mencipta applikasi kerambit sendiri. Kumpulan ini yang paling banyak diperingkat antarabangsa.


Kung Fu Kerambit.

Jika anda di lihat internet anda akan dapat lihat ramai pengamal pelbagai ilmu beladiri yang mengelarkan  diri mereka pakar kerambit, majoritinya  bukan orang silat.  Ada dari seni Kenpo , Jeet Kune do Kung Fu mendiang Bruce Lee dan paling ramai ialah dari seni beladiri Filipina seperti Kali, Eskrima dan Arnis. Mengapa jadi begini?  Pertama, kerambit  ialah senjata yang amat merbahya. Ia mampu mencederakan walaupun digunakan oleh anak-anak. Apabila seni ini dipelajari dari orang silat dalam seminar dan kursus pendek, mereka yang mengikuti akan tertarik dan teruja dengan kehebatan senjata ini. Mereka mula mengubah teknik-teknik kerambit menurut gerak aliran dan citarasa mereka. Para pengamal Jeet Kune Do memang gemar merojakan ilmu beladiri yang mereka sukai dan kebetulan pengamal aliran seni beladiri Filipina juga berkait rapat dengan Jeet Kune do gemar  mencampur aduk ilmu yang mereka pelajari. Maka lahirlah pakar kerambit di barat  yang bukan dari orang silat. Tapi kerambit ala ‘free style’ yang bukan ‘original.’


Silat & kerambit

Kumpulan kedua ini paling ramai di Malaysia. Secara amnya aliran-aliran silat mengajar penuntut mereka ilmu bertongkat, pisau, parang dan keris. Kemudian diikuti oleh lembing sebagai penyambung ilmu bertongkat, pedang penyambung ilmu berparang, tekpi, kain sarung atau cindai dan kemungkinan sabit atau kerambit. Secara amnya kerambit dianggap senjata sulit dan Guru-guru akan mengajar sebiji dua buah rahsia pada murid-murid yang paling dipercayai. Tiada pelajaran khusus untuk mempelopori senjata ini.

 Aliran silat Melayu yang datangnya dari Sumatera ,Jawa dan Melaka, majoiriti berkerambit. Aliran dari Sumatera dan Jawa yang original pasti berkerambit. Tapi ada juga aliran yang moden dan hybrid masih mengekalkan ilmu berkerambit sebelum melalui proses evolusi.  Oleh kerana Melaka ialah pusat pertembungan budaya sejak kurun ke 15 lagi, tidak hairanlah silatnya juga mengamalkan budaya hybrid sejak era itu lagi. Kerambit memang diamalkan oleh majoriti aliran silat Melaka samada pelajaran khusus atau buah rahsia.

Aliran silat dari Kedah Tua jarang sekali berkerambit. Kemungkinan sebab kerambit dalam alam Melayu tua adalah peralatan hiasan kaum wanita. Bagaimana pula kerambit boleh ujud di Filipina dan Brunei? Orang Melayu dari Sumatera, Jawa dan Semenanjung sudah lama berhijrah ke Filipina sejak era Empayer Srivijaya lagi . Maka tidak hairanlah Kerambit sudah sampai ke negara jiran kita itu. Di Brunei aliran berkerambit tidak begitu menonjol. Mungkin kerana terdapat banyak seni beladiri hybrid silat dan kuntau di Borneo.

Guru Maul Mornie dari Silat Suffian sahaja yang popular berkerambit. Kemungkinan silat beliau silat orang Jawa atau Sumatera dan kemungkinan juga Melaka. Atau hybrid silat silat tua dari ketiganya sekali. Mungkin juga ia jenis silat asli orang Melayu Brunei yang telah lama berkerambit. Maafkan saya Guru Maul saya kurang periksa, kita tidak pernah bersua .Bila ada peluang bertemu nak juga saya tanya beliau alirannya dari mana? Yang nyata bila saya tonton demo-demo Guru Maul di You-tube, saya dapati cara penyampai beliau berbeda sedikit dari cara silat Melayu biasa tapi lebih mirip konsep latihan bertempur seni beladiri Filipina dan Jeet kune Do ala Guro Dan Inosanto. Lebih gaya ‘drill’ dan pemati gerak pertama atau lapisan kedua serangan dan reaksi lawan. Oleh yang demikian cara dia diminati oleh para pelatih seni beladiri Filipina dan Jeet Kune do berlatih konsep begini. Saya sangat mengenali cara ini kerana ramai juga murid murid saya di luar negara adalah dari kaum –kaum yang sama.  Tidak pula Guru Maul mengayakan ala silat Melayu yang melakukan buah penamat. Orang silat memang ‘renowned’ dengan buah penamat, kalau dah masuk memang parah dan tidak keluar lagi. Kalau bersilat atau berpencak pasti ada buahnya. Walaubagaimana pun tahniah buat Guru Maul kerana telah berjaya menarik minat dua kaum yang saya sebutkan tadi pada silat beliau dan secara langsung menaikan nama silat di mata dunia.

Jika aliran Silat itu ada pengaruh China seperti ‘Lian dan kuntau’ memang ‘confirm’ mereka tidak berkerambit dan jika ada pun ia adalah tambahan pelajaran dari luar. Mereka ni lebih gemar bertekpi.



Senjata Srikandi

Salah satu sebab mengapa kerambit tidak begitu popular dibandingkan dengan senjata Melayu lain di Malaysia ialah kerana ia bukan senjata pendekar yang digunakan dalam keadaan perang dan pertempuran, malah ia adalah senjata Srikandi Melayu. Senjata sulit orang perempuan. Srikandi menggunakan untuk mempertahankan diri ketika dalam kecemasan. Ia disimpan secara rahsia  dalam sanggul, saku, bengkung dan kadang kala dalam pakaian dalaman. Jadi tidak hairanlah mengapa ramai aliran silat yang berteraskan ilmu pergaduhan pendekar lelaki tidak begitu popular dengan dengan senjata ini. Oleh kerana ia dianggap senjata sulit wanita, ilmu bertempurnya sangat dirahsiakan dan ada yang percaya ia pupus bersama sama guru-guru pakar yang pergi dan tidak sempat menurunkan ilmu pada generasi seterusnya.



Pakar kerambit

Kumpulan ini jarang didapati di negara kita. Aliran Harimau Berantai ,Chemande dan Sunda dari tanah Jawa adalah  aliran dan perguruan yang punya pelajaran berkerambit secara khusus. Mahaguru aliran Harimau Berantai Pencak silat International  terkini  ialah seorang Srikandi.  Maka tidak hairanlah ilmu kerambit  sebenar  diwariskan  oleh para penuntut aliran ini.  Srikandi Hajah Ramintan Samingon telah menurunkan ilmu berkerambit pada saya dan kini ilmu ini dipelopori oleh anak anak murid saya di seluruh dunia. Di antara mereka yang diistiharkan pakar oleh Perguruan Harimau Berantai ialah Pendekar Wan Yusmar dan Pendekar Azilan Ahmad dari Malaysia. Tidak ketinggalan juga Pendekar Ed Chard dari Australia dan United Kingdom. Kumpulan pelapis yang kini dilatihan oleh saya sendiri di ibu pejabat Jak Othman Kickboxing & Martial Arts Studio (JOKMAS) Subang Jaya  bakal menyusuli 3 pendekar ini.  Kumpulan yang diketuai oleh Cikgu Niizam dan Cikgu Ilmi yang terdiri dari ramai Srikandi. Di antara Srikandi yang bakal muncul ialah Puteri, Ruth, Izzati dan Amira di Subang jaya dan Dini di Trengganu. Begitu juga kumpulan persaudaraan Bladetech yang sudah bertapak di Terengganu, Johor dan juga Melaka, insyaallah dalam masa 5 tahun yang akan datang lahirlah pakar kerambit di negeri negeri ini.
Melalui siri seminar persaudaran Bladetech yang sedang  saya kelolakan di seluruh Malaysia ini , saya yakin  ia akan menlahir lebih ramai pesilat yang bakal menjadi pakar kerambit satu ketika kelak. Oleh itu, saya ingat menyeru pada semua anak Malaysia yang berminat dalam ilmu persilatan untuk tampil kehadapan dan mengikuti seminar serta kelas-kelas  kerambit dan banyak lagi senjata Melayu lain yang bakal saya kelolaankan di pelbagai lokasi diseluruh Negara. Belajarilah yang original, yang tulen, bukan yang ditiru dan diubahsuai oleh mereka yang mengenali kerambit setahun jagung. Tidak perlu bawa pakar kerambit dari luar negara untuk mengajar di Malaysia ni, ramai Guru pakar senjata ini di Malaysia. Kalau susah nak jumpa, tulis saja nama saya di yahoo atau google.Pasti jumpa Beres!



Ilmu berkerambit Harimau Berantai.

Dulu dan sekarang


Menurut  Srikandi Hajah Ramintan, Rafil ialah salah satu senjata para  pendekar Harimau Berantai (HB)  ketika mereka dalam misi untuk berhadapan dengan tentera Belanda di tanah Jawa dalam perang pembebasan Indonesia. Secara amnya pendekar HB akan membawa sundang di belakangnya, sao (tekpi), belati atau keris semangat di pinggang, manakala  bukulima , serbuk perang , kapak kecil atau  Rafil dalam saku. Kadangkala bukulima dan rafil diikat dihujung  kain batek lepas yang mejadi selendang atau bengkungnya.

Yang nyata rafil senjata srikandi ini sudah menjadi alat pembinasa oleh pendekar HB sejak berkurun lamanya. Ilmu bertempur senjata inilah yang diamalkan oleh para penuntut HB sehingga kini. Ilmu bertempur Rafil  dipercayai ujud lebih dari 500 tahun yang lalu, ia melalui proses evolusi dan mencapai tahap paling efektif ketika pendekar keturunan ini bertempur dengan penjajah Belanda sejak abad ke 15 lagi. Ilmu ini digunakan sepenuhnya apabila bertempur di jarak rapat dan membinasa musuh dengan senyap.
Ilmu bertempurnya dijaga rapi dan diturunkan pada generasi seterusnya sehinggalah dipelopori oleh generasi HB masakini dan pembaca boleh turut mempelajarinya dari saya dan para pendekar bertauliah seperti diperkenalkan adalam segmen sebelum ini.

Konsep ‘Kill or be killed.’


Teknik bertempur dengan kerambit tidak ‘fancy’ dan ranggi  seperti  ‘Nunchaku’ yang dipelopori oleh mendiang Bruce Lee dan pisau ‘balisong’ yang dipopularkan oleh pemgamal seni beladiri Filipina. Lawan kita akan hanya mengetahui kita bersenjata kerambit apabila kerambit sudah membaham dengan kombinasi pemusnah di pipi , leher,dada, perut, rusuk dan buah pinggang mereka setelah atau sebelum mengoyak otot atau sendi tangan dan kaki mereka serentak. Yang terkena hanya mampu melihat pendekar HB yang berdiri rapat dengannya; kecewa menahan kesakitan yang tidak terperi. Tidak mampu mengundur. Tiada lagi kemampuan untuk melawan. Ia cuma mampu rebah menyembah bumi dengan darah yang memancut keluar dari luka-luka bahaman kerambit itu. Ilmu berkerambit  HB tidak untuk majlis demo silat  dan bukan permainan silat untuk kanak kanak dan remaja. Ia adalah ilmu perang di mana konsep ‘killed or be killed’ menjadi rujukan.

Bila dilihat cara para pengamal seni beladiri Filipina berkerambit di You-tube, saya sungguh seronok melihat cara mereka mengayakan teknik-teknik ‘fancy’ seperti  Nunchaku dan balisong yang diamalkan mereka. Kerambit diputar masuk dan keluar bergaya sekali. Seolah-olah menakutkan lawan dengan berkata lihat aku ada kerambit. Berbeda dari kami di aliran HB, yang meyorokan kerambit yang bakal membaham lawan bila peluang penamat pertarungan tiba.

Mungkin kerana HB mengamalkan petua berkerambit ala Srikandi yang tidak gemar menakutkan lawannya dengan taktik mengayakan putaran kerambit yang ranggi.  Kami lebih senang membaham musuh yang tidak bersedia dengan teknik pembinasa mutlak. Peluang untuk lawan bertindak balas sangat tipis.

Kenali Ilmu Bertempur Rafil


Dalam HB terdapat 5 cara umum teknik memegang kerambit. Pemegang pertama ialah mata kebawah. Ini ialah cara paling ‘standard’ dan sesuai untuk bertempur dalam jarak sederhana dan rapat.  Pemegang kedua ialah dengan matanya  keluar. Kedua teknik pemegang  ini sering menjadi teman berkombinasi  ketika bertempur. Pemegang kedua sesuai untuk tikaman jarak jauh dan juga memotong dan menghiris di jarak sederhana dan rapat. Pemegang ketiga ialah dengan mata keatas. Cara ini sesuai untuk teknik teknik jarak jauh , sederhana dan rapat. Tapi cara HB berbeza dari cara kumpulan kumpalan berkerambit yang lain. Kami menggunakan jari hantu untuk dimasukan ke lubang ulu, manakala yang lain menggunakan jari kecil. Cara HB memberi kelebihan jangkauan

kerambit anda untuk tempur jarang jauh dan sederhana. Dari cara ini, kita boleh ke pemegang keempat yang lebih dikenali sebagai cara menyimpan kerambit dari pemegang ketiga. Cara ini memang cantik untuk teknik teknik jarak rapat.  Pemegang kelima HB ialah cengkaman harimau yang paling sesuai untuk teknik pegangan kuncian tangan dan kaki dan sasaran-sasaran lembut di tubuh lawan. Bila dicengkam mata kerambit akan dibenam kesasaran dan direntap keluar.

Dengan lima cara pemegang ini, bertempur dengan rafil HB digaluri dengan konsep, strategi dan teknik bertarung yang diperhalusi berkurun lamanya. Untuk artikel ini saya akan bincangkan 2 konsep tempur rafil HB. Sebelum anda terus membaca ingin saya utarakan kata kata Srikandi Hajah Ramintan sebelum  beliau mula mengajar saya ilmu perang senjata tajam HB.’ Saya boleh mengajar kamu mencederakan lawan dengan ribuan teknik senjata tajam pendekar Jawa. Tapi ingat jika lawan kamu mati tiada sesiapa yang boleh menghidupkannya kembali. Ingat! Fikir habis habisan sebelum kamu membuat keputusan untuk bertempur dengan senjata tajam.’, kata beliau. Sebenarnya guru tua ini mahu mengingatkan saya bahawa ilmu bertempur dengan senjata tajam cara HB sungguh merbahya kerana aliran ini mengajar kita cara bertempur dalam keadaan sebenar bukan untuk buat demo di majlis keramaian. Lagi cepat lawan tewas dan tidak mampu bertarung lagi baik! Setiap pelatih HB dididik supaya punya budi pekerti mulia ,tahap kesabaran yang tinggi dan iman yang cukup kuat, kerana bila rantai sudah tiada lagi sang harimau akan menjadi sungguh merbahaya.  

           

Kejutan :Element of surprice.

Strategi pertama Rafil ialah kejutan. Dengan konsep element of surprice ini pakar kerambit akan bertindak dengan gerak pembinasanya apabila musuh tidak menduga. Musuh akan merasakan  tiada bahaya langsung. Contohnya tindakan dari belakang. Muka lawan di dipaut dari belakang  dengan jari mencengkam mata, dengan cara pemegang kedua leher lawan ditebuk dan dikelar keliling. Segera susuli dengan langkah kedua tumbuk kedalam buah pinggang dan potong kearah lubang punggung. Lawan yang dibahaman kerambit begini, peluang untuk melawan sudah tersangat tipis.   

Contoh kedua ialah dengan menyerang lawan dari tepi di mana anda berada di titik buta atau ‘blind spot’nya. Dengan menggunakan tangan terdekat dengannya, libas rafil anda yang dipegang dengan cara 1,2 atau 3 merobek bahagian  tepi leher lawan. Segera rapat ke bahagian belakang dan tamatkan serangan dengan membaham bahagian sisi perut dan tikaman ke buah pinggang. Sasaran seterusnya ialah sendi pelipat kaki atau lutut supaya dia rebah tidak bertindak melawan lagi.

Padam lampu

Strategi kedua ialah ‘padam lampu’. Jika dalam kegelapan yang tiada setitik cahaya pun, lawan akan berada dalam keadaan buta sementara sebelum setiap deria lain mula berfungsi. Di saat inilah dia berada dalam keadaan merbahaya, ‘sitting duck’ kata orang London. Pendekar HB akan bertindak segera apabila saat ini muncul.
Lampu yang dimaksudkan ialah otak musuh. Jika tempurung kepala lawan dihentak keras otak boleh  tercedera. Apabila otak tercedera, seluruh badan akan menjadi lemah. Begitu juga jika mata tercedera akibat tusukan kerambit, otak akan menjerit kesakitan membuat lawan buta  sementara atau selamanya. Begitu juga dengan leher yang tercedera. Jika dibahagian belakang seluruh saraf tulang belakang kurang berfungsi. Jika bahagian tepi darah akan terhenti ke otak. Di bahagian depan pula akan merosakan saluran pernafasan dan oksigen akan terhenti untuk ke otak. Akibatnya otak akan hilang fungsi menyebabkan lawan menyembah bumi.

Apabila gerak awal anda memadamkan lampu lawan, maka langkah seterusnya terpulang pada budi bicara anda. Dalam keadaan tempur sebenar sejauh mana anda mahu lawan anda dicederakan. Semuanya terpulang pada keadaan anda ketika itu. Jika berperang lebih cepat lawan anda padam lebih baik.     
Ikuti seminar kerambit melalui siri seminar persaudaraan Bladetech.

Untuk mengenali ilmu berkerambit HB silalah ikuti siri seminar seminar saya yang dianjurkan oleh Kumpulan Persaudaraan Bladetech di seluruh Negara. Sesiapa yang berminat boleh rujuk terus pada blog kami di segmen seminar untuk mengetahui tarikh-tarikh dan lokasi seminar. Jika anda berminat untuk membawa seminar persaudaraan bladetech kerambit ketempat anda sila hubungi saya terus di talian 013-3626561 atau e-mail  jak_othman@ymail.com. Saya akhiri artikel ini disini. Kita bertemu lagi dalam artikel  seterusnya iaitu seni Belati.  Jumpa lagi.

Jak Othman
13 Mac 2013 Pulau Perhentian    


Amaran:
Pihak JOKMAS dan pengurusan blog ini tidak bertanggung jawab di atas sebarang kecederaan yang dialami oleh pembaca artikel-artikel kami jika mereka mencuba teknik teknik dipaparkan  tanpa pengawasan pakar Harimau Berantai. Kalau berminat untuk belajar datang ke seminar dan kelas kami.

Disclaimer
JOKMAS and our blogger are not responsible for any injuries incurred by the readers of our articles who tried to apply the techniques highlighted without the supervision of Harimau berantai experts. All interested readers should come and learn from the experts at our seminar & classes.







Kerambit senjata seni beladiri abad ini


Kerambit kemungkinan besar ialah senjata seni beladiri bangsa Melayu yang paling terkenal di dunia. Keberkesanannya untuk bertempur begitu menyerlah sekali. Ia telah mengemparkan dunia seni beladiri antarabangsa pada awal tahun 90an apabila ia diperkenalkan oleh segelintar pakar dari Dunia Melayu. Salah seorang dari mereka yang telah memperkenalkan senjata Melayu unik ini ialah Pendita Jak Othman dari Pencak silat Harimau Berantai Antarabangsa.


Ramai ahli beladiri mengunakan kerambit sebagai alat tambahan yang dipegang di tangan. Tapi bagi ahli harimau berantai , kerambit mempunyai dunianya yang tersendiri. Ia punya teknik teknik yang unik , falsafah tempur dan strategi yang perlu dipelajari dari seorang pakar dan diterokai dibawah tujuk ajar beliau. Ia adalah satu subjek khusus dan seni yang tersendiri. Pendekar harimau berantai ialah pakar sais bertempur dengan senjata kerambit.

*Sila pelajari ilmu ini dari seorang pakar yang ditauliahkan sebagai Pakar Dunia

1 comment:

  1. assalamualaikum tuan guru..

    Dimana saya boleh mencari dan berguru dengan tuan guru. Teknik kerambit ini bukan sahaja minat bagi saya malah satu keperluan bagi kerja dan hidup saya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...